
Selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan, persoalan terbesar bagi kebanyakan lepasan sekolah ialah “Jadi, lepasni nak buat apa?”
Jangan risau, kami akan membantu anda mengenali diri, dan bagaimana untuk menempuh fasa baharu yang mengujakan ini.
1. Kenali diri anda dengan lebih mendalam
Apakah sesuatu yang anda suka lakukan? Sama ada membuat pencuci mulut, menyelesaikan masalah matematik yang rumit, ataupun menulis puisi—semua ini bukan sekadar hobi. Perkara yang anda suka (dan tidak suka!) lakukan menceritakan personaliti dan kekuatan anda, serta jenis persekitaran yang sesuai untuk anda.
Selepas mendapat sedikit gambaran, ambil buku nota dan catat nilai, kekuatan, dan juga keraguan yang anda miliki. Apabila idea-idea itu dicatat, anda dapat mengenal pasti coraknya, memperoleh kejelasan, dan mula merangka langkah seterusnya.
Ingat, fasa ini bukan untuk memilih kerjaya atau membuat keputusan muktamad; ia adalah untuk anda mengenali diri dan merancang laluan yang sesuai dengan keinginan anda.
2. Berbual dengan orang dewasa
Mengenali diri hanyalah permulaan, langkah seterusnya ialah berbual dengan orang lain. Ramai lepasan SPM mungkin tidak sedar bahawa kebanyakan orang dewasa yang mempunyai pengalaman kerja sudi untuk berkongsi perjalanan mereka. Bermula daripada pengajaran yang dipelajari, kesilapan yang ingin dielakkan, hinggalah nasihat yang mereka harap diterima ketika seusia anda, kamu hanya perlu bertanya untuk belajar daripada mereka.
Perbualan seperti ini amat bernilai: anda boleh menemukan minat, mengenal pasti kekuatan serta bakat, dan menukarkannya menjadi peluang yang bermakna.
LinkedIn bukan sahaja untuk pencari kerja atau profesional korporat; platform ini juga alat berkesan bagi pelajar untuk berhubung dan memulakan perbualan dengan pakar dalam bidang yang diminati.
Mulakan dengan mencari profesional dalam bidang selari dengan minat anda dan hantar mesej untuk meminta mereka berkongsi perjalanan mereka. Selalunya, mereka sudi untuk berkongsi pengalaman, terutama dengan anak muda yang benar-benar ingin tahu.
Jangan risau jika mesej anda tidak dibalas. Teruskan mesej orang seterusnya. Lagi ramai anda hubungi, lebih besar peluang menemui seseorang yang mahu membantu. Kalau masih tak pasti caranya, mulakan dengan mencipta profil LinkedInmencipta profil LinkedIn
mencipta profil LinkedIn
mencipta profil LinkedIn. Ini langkah pertama untuk anda menonjolkan diri dan mempamerkan minat anda kepada dunia!
3. Tanya rakan AI anda!
Merancang masa depan tidak semestinya bermula dengan perbualan bersama orang lain; kadangkala ia boleh bermula dengan sebuah soalan.
Alat AI seperti ChatGPT, DeepSeek dan Gemini boleh membantu anda memahami minat, meneroka laluan kerjaya, atau membuat persediaan sebelum berbual dengan golongan dewasa dan profesional. Sama ada anda ingin tahu tugas pereka grafik, cara memasuki bidang kejuruteraan, atau bagaimana rasanya bekerja dalam sektor pelancongan—bertanya merupakan langkah pertama.
Namun, elakkan bergantung pada AI sahaja. Kaunselor sekolah, guru, dan mentor program belia juga adalah opsyen baik untuk membantu menilai pilihan anda. Lebih banyak soalan anda tanya, lebih banyak yang anda pelajari!
4. Saya sudah mengenali diri saya dengan lebih baik, apa langkah seterusnya?
Selepas meluangkan masa menilai minat, menerokai personaliti, bertanya soalan, dan mungkin bercakap dengan beberapa orang profesional, anda akan berasa lebih yakin untuk berfikir secara praktikal tentang langkah seterusnya.
Setiap laluan hadir dengan peluang dan cabaran tersendiri. Perkara utama adalah dengan mencari laluan yang benar-benar serasi dengan diri anda. Untuk perincian penuh tentang semua pilihan—termasuk syarat kemasukan, jenis kursus, dan pilihan pembiayaan—rujuk panduan lengkap kami tentang Pilihan Pasca SPM. Jika bimbang tentang kos, terdapat biasiswa, pinjaman, dan bentuk sokongan lain yang boleh membantu anda meneruskan pendidikan. Ketahui lebih lanjut dalam panduan Bantuan Kewangan untuk Lepasan SPM kami.
Berasa takut semasa merancang masa depan pasca SPM adalah sesuatu yang biasa. Namun, anda tidak perlu menyelesaikan semua persoalan sekaligus, dan anda tidak perlu melakukannya bersendirian!

