Dunia pekerjaan yang akan anda ceburi selepas tamat belajar jauh berbeza dengan dunia pekerjaan yang ditempuhi oleh ibu bapa anda. Sedekad lalu, jawatan seperti Pengurus Media Sosial atau Jurutera AI mungkin dianggap luar biasa. Hari ini pula, majikan berlumba-lumba untuk mengisi jawatan tersebut.

Aliran global seperti kecerdasan buatan (AI), perubahan iklim, dan automasi sedang mengubah industri di seluruh dunia. Majikan kini mencari bakat yang mahir dan fleksibel. Dengan perkembangan kerja jarak jauh dan kolaborasi digital, peluang tidak lagi terhad kepada bandar atau negara tempat anda menetap. Ini bermakna peluang anda tiada sempadan. Jadi, beranilah bermimpi besar dan mula rancang masa depan yang anda inginkan.

Sebelum ini, kita telah membincangkan cara memahami diri sendiri supaya dapat memilih kursus yang sesuai dengan kelebihan dan minat anda. Kali ini, kita akan lihat gambaran yang lebih luas: industri dan kemahiran yang akan terus relevan dalam beberapa tahun akan datang. Ini juga boleh membantu anda kenal pasti laluan selepas SPM yang sesuai.

Walaupun ibu bapa selalu mahu anak-anak ambil laluan tradisional, ia bukan lagi satu-satunya cara untuk berjaya. Hari ini, kejayaan datang dalam pelbagai bentuk, dan dunia pekerjaan sentiasa berkembang dengan peluang baharu.

Jika anda mahu memulakan kerjaya yang tidak lapuk ditelan zaman atau future-proof, berikut adalah tiga bidang yang sedang membuat kemunculan dan bagaimana ia membentuk pasaran kerja di Malaysia dan secara global.

1. Kerjaya Berasaskan Teknologi

Dengan perkembangan pesat AI dan transformasi digital, permintaan terhadap bakat teknologi semakin tinggi. Universiti dan kolej bertindak balas dengan menawarkan lebih banyak program berfokuskan teknologi atau memasukkan program elektif berkaitan teknologi dalam kursus lain supaya graduan bersedia untuk memasuki dunia pekerjaan sebagai pekerja yang mempunyai kemahiran teknologi.

Di hab teknologi global seperti Amerika Syarikat dan China, pekerja digital yang berbakat sangat dicari. Baru-baru ini, CEO Meta, Mark Zuckerberg, dikatakan menawarkan pakej USD 250 juta kepada bakat muda AI yang berusia 24 tahun, Matt Deitke, untuk menyertai pasukannya. Ini membuktikan bahawa kemahiran dan inovasi lebih penting daripada usia, dan potensi perkembangan boleh menjadi sangat besar.

Di Malaysia, industri seperti fintech, e-dagang, dan pembuatan pintar (smart manufacturing) aktif mencari pakar dalam bidang AI, sains data dan keselamatan siber. Bank dan institusi kewangan, contohnya, membuat pelaburan besar dalam sistem pengesanan penipuan, penilaian kredit berasaskan AI, dan platform pembayaran dalam talian yang selamat. Semua ini memerlukan pekerja-pekerja yang berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi.

2. Kerjaya Berteraskan Alam dan Kelestarian

Kesegeraan dan kesedaran yang semakin luas tentang perubahan iklim menjadikan kerjaya berteraskan alam dan kelestarian salah satu sektor paling penting dan berkembang pesat hari ini. Kerajaan, perniagaan, dan komuniti mula mengamalkan langkah-langkah lestari untuk mengurangkan jejak karbon dan melindungi sumber semula jadi. Peralihan ini membuka peluang untuk individu yang boleh mencipta dan melaksanakan cara-cara penyelesaian yang mesra alam.

Dengan lebih banyak industri yang bergerak ke arah masa depan hijau dan kesedaran orang ramai yang semakin tinggi, pekerjaan dalam bidang kelestarian (termasuk dalam suasana korporat) semakin meningkat. Banyak syarikat kini melancarkan inisiatif hijau yang mengimbangkan keuntungan dengan kesan yang minimum kepada alam sekitar. Ini menjadikan kemahiran dalam sains alam sekitar dan teknologi hijau sangat bernilai.

Malah, sektor seperti pertanian, yang secara asalnya banyak menggunakan sumber, sedang berubah. Para petani dan syarikat kini menggunakan teknologi pertanian tepat (precision farming technology), mempunyai sijil sawit lestari, dan menghasilkan makanan organik untuk memenuhi permintaan tempatan dan global.

Kerjaya dalam kelestarian akan menjadi lebih relevan dan dicari seiring dunia menumpukan kepada masa depan yang hijau dan kerjaya yang tidak lapuk ditelan zaman.

3. Kerjaya Berpusatkan Manusia

Walaupun teknologi berkembang pesat, manusia tetap menjadi fokus utama. Pekerjaan yang memberi tumpuan kepada hubungan manusia, empati, dan kefahaman semakin bernilai. Tiada mesin yang boleh meniru dan memahami sepenuhnya emosi atau keperluan manusia. Sama ada membantu seseorang mengatasi cabaran peribadi, mereka produk yang mudah dan seronok untuk digunakan, atau menjaga kesihatan pesakit, kerjaya-kerjaya ini meletakkan manusia sebagai keutamaan dalam penyelesaian masalah.

Di Malaysia, contohnya, Kementerian Kesihatan menekankan keperluan mendesak untuk lebih ramai profesional kesihatan mental, jururawat, dan pekerja komuniti untuk menyokong komuniti bandar dan luar bandar. Dalam sektor teknologi dan pembangunan produk, kerjaya-kerjaya dalam bidang UX (User Experience) dan reka bentuk berfokuskan manusia penting untuk memastikan inovasi yang inklusif, senang diakses, dan memenuhi keperluan sebenar orang ramai.

Industri kreatif juga menggunakan pemikiran berfokuskan manusia. Ini termasuk mereka ruang awam yang inklusif, membangunkan program pendidikan untuk kumpulan tertentu, dan mencipta teknologi bantuan untuk orang kurang upaya. Kerjaya-kerjaya ini bukan sahaja menawarkan kestabilan, tetapi juga memberi impak positif secara langsung kepada kehidupan manusia.

Kerjaya-kerjaya yang akan wujud di masa hadapan tidak hanya menghargai ijazah, tetapi juga mementingkan rasa ingin tahu untuk terus belajar, keterbukaan untuk menyesuaikan diri dan keberanian untuk berkembang. Sama ada anda tertarik kepada teknologi, kelestarian, atau kerjaya yang berfokuskan manusia, kemampuan untuk mempelajari kemahiran baharu, menyelesaikan masalah secara kreatif, dan melihat peluang dalam perubahan yang akan membezakan anda daripada calon-calon lain. Belajar daripada kursus-kursus, sertai projek, jadi sukarelawan, dan terokai industri yang anda minat. Anda perlu sentiasa peka dengan aliran atau trend global dan tempatan kerana ini akan membantu anda kekal di hadapan dalam dunia yang sentiasa bergerak.

Akhirnya, kerjaya future-proof bukan sekadar memilih bidang “betul”. Ia tentang menjadi individu yang boleh berkembang tanpa mengira perubahan dunia. Soalannya bukan sekadar “Pekerjaan apa yang patut saya pilih?”, tetapi “Bagaimana saya boleh terus berkembang agar sentiasa bersedia menghadapi apa jua perubahan?”