Zaman kolej penuh dengan pengalaman baharu—sesi melepak di mamak pada lewat malam, tugasan yang banyak, dan berkenalan dengan rakan-rakan baharu. Namun di sebalik kebebasan itu terdapat tanggungjawab kewangan. Perbelanjaan untuk yuran pengajian, buku bacaan, kehidupan seharian, dan aktiviti sosial boleh menjadi beban kepada pelajar kolej, terutamanya pelajar baharu yang belum biasa menguruskan wang secara berdikari.

Berbelanja mengikut bajet tidak bermaksud mengorbankan keseronokan. Dengan mengamalkan beberapa tabiat kewangan bijak, anda menikmati kehidupan kampus sambil kekal berdisiplin (secara kewangan).

Sama ada anda menguruskan wang PTPTN, pendapatan sambilan, atau elaun bulanan, tip-tip berikut ini boleh membantu meregangkan kewangan pelajar dan menguruskan wang dengan lebih cermat dan realistik:

Tip #1: Ketahui Ke Mana Wang Anda Pergi (Supaya Anda Tidak Panik)

Wang boleh “ghaib” dengan pantas jika anda tidak memantaunya. Sebab itulah bajet asas sangat membantu.

Catatkan pendapatan bulanan anda termasuk wang PTPTN, elaun, atau biasiswa. Kemudian, senaraikan perbelanjaan anda. Lazimnya, terdapat dua jenis perbelanjaan iaitu perbelanjaan tetap (sewa, bil telefon) dan perbelanjaan berubah-ubah (makanan, pengangkutan, bubble tea).

Selepas mengenalpasti pendapatan anda, buat perbandingan antara pendapatan dengan perbelanjaan untuk kenalpasti sama ada anda berbelanja secara berlebihan. Jika sering kekurangan wang, anda perlu kurangkan perbelanjaan ataupun cari pendapatan tambahan. Sekiranya mempunyai wang berlebihan, simpan wang tersebut di dalam tabung anda.

Gunakan aplikasi seperti Maybank MAE atau Spendee untuk kategorikan perbelanjaan supaya dapat ketahui dengan lebih jelas jenis perbelanjaan anda. Jika anda suka templat, boleh cuba Google Sheets atau templat percuma di iMoney.

Apabila anda tahu ke mana wang mengalir, anda tidak akan gelabah apabila tugasan, projek berkumpulan, atau kecemasan muncul.

Tip #2: Cari Pendapatan Sampingan (Gig Kecil Pun Membantu!)

Duit poket tambahan membawa perbezaan yang ketara. Pendapatan bulanan ekstra (walaupun sedikit) boleh disimpan atau dibelanja ‘manja’ tanpa rasa bersalah.

Anda tidak perlukan kerja sepenuh masa untuk berasa stabil; sedikit pendapatan ekstra boleh memberi kebebasan untuk keluar dengan rakan atau membeli sesuatu yang diidamkan.

Tip #3:  Berbelanja Kurang Tanpa Rasa Kurang

Berjimat tak bermakna tiada hiburan—ia sekadar berbelanja dengan lebih bijak supaya dompet tidak sentiasa nipis. Perubahan kecil ini boleh memberi impak besar menjelang hujung bulan atau sewaktu kecemasan.

  • Makan di rumah dengan lebih kerap. Makan di luar setiap hari memerlukan bajet yang besar. Memasak di rumah bukan sahaja lebih murah, malah jadi menyeronokkan bila sudah biasa!
  • Jangan beli barang dapur ketika lapar. Berbelanja ketika lapar boleh akan menggalakkan perbelanjaan mengikut nafsu seperti snek, dan mengakibatkan perbelanjaan berlebihan! Senaraikan apa yang anda perlu beli, dan ikut senarai tersebut.
  • Manfaatkan kad pelajar anda. Gunakan diskaun pelajar seperti Pas LRT (Kad Konsesi My50), tiket wayang (harga pelajar di GSC atau TGV), diskaun di kafe atau kedai buku—penjimatan ini mungkin nampak kecil, tapi boleh menghasilkan impak yang besar. Pastikan anda sentiasa tanya, “Ada diskaun pelajar tak?”

Dengan mengurangkan perbelanjaan bukan keperluan, anda akan mempunyai lebih wang untuk perkara yang lain seperti percutian singkat bersama rakan, atau ‘self-reward’ sekali-sekala.

Tip #4: Fokus pada Perkara yang Mustahak

Tapiskan keperluan dan keinginan anda. Tentukan keutamaan anda. Mungkin anda mahu menyimpan untuk komputer riba yang bagus, membeli hadiah hari jadi buat insan tersayang, atau belanja ibu bapa makan malam sekali-sekala.

Rancang bajet mengikut keutamaan tersebut. Tiada salahnya berbelanja untuk hiburan, asalkan ianya dirancang. Contohnya, peruntukkan RM30 sebulan untuk keluar bersama rakan, atau RM50 untuk ‘shopping’. Dengan cara ini, anda boleh bergembira tanpa rasa bersalah.

Potong apa yang tidak menambah nilai kepada anda. Jika anda belanja RM150 sebulan untuk penghantaran makanan, fikirkan sama ada wang itu lebih baik disimpan atau digunakan untuk sesuatu yang lebih penting.

Biarkan wang anda mencerminkan nilai dan matlamat anda. Berbajet bukan semata-mata berkata “tidak”, tetapi berkata “ya” kepada perkara yang perlu diutamakan.

Penghujungnya, tiada cara yang sempurna untuk membina bajet—keutamaan terletak kepada tentang kesedaran dan niat anda sendiri.

Lagi awal anda membina tabiat kewangan yang baik, lebih mudah untuk mengurus tanggungjawab yang lebih besar pada masa depan. Jadi, mulakan dengan langkah-langkah kecil dengan konsisten, dan menikmati hidup sebagai pelajar sambil menguruskan wang secara bijak!