
Di era digital kini, lebih mudah untuk kita mencari kerja melalui platform seperti LinkedIn, JobStreet, dan Indeed. Namun, kemudahan ini datang dengan risiko, iaitu jumlah kes penipuan kerjaya semakin meningkat.
Penipuan kerjaya adalah tawaran pekerjaan palsu yang direka untuk menipu pencari kerja sebenar. Penipu mungkin menyamar sebagai perekrut atau majikan, dengan modus operandi menawarkan jawatan palsu untuk mencuri wang atau maklumat peribadi. Dengan teknik penipuan yang semakin canggih, bagaimana anda boleh melindungi diri sendiri? Berikut adalah beberapa tanda amaran biasa yang perlu anda waspada!
🚩 #1 Permintaan Kewangan
Tawaran pekerjaan yang sah tidak akan meminta anda membayar apa-apa untuk mendapatkan jawatan tersebut. Jika anda diminta membayar secara langsung atau upfront (sama ada untuk pendaftaran, latihan, peralatan, atau yuran “pemprosesan” atau “keselamatan” yang tidak jelas), ini adalah tanda amaran besar.
Penipu boleh menjadi sangat meyakinkan. Mereka akan buat bayaran itu nampak seperti sebahagian proses pengambilan pekerja biasa. Ingat: dalam permohonan kerja yang sah, syarikat yang akan mengeluarkan perbelanjaan untuk mendapatkan anda sebagai pekerja, bukan sebaliknya.
🚩 #2 Butiran Tawaran Kerja yang Mencurigakan
Jika sesuatu tawaran pekerjaan tampak terlalu indah bagaikan mimpi, kemungkinan besar tawaran tersebut adalah palsu.
Penipu sering “mengumpan” pencari kerja dengan menjanjikan gaji yang luar biasa tinggi. Untuk menjadikan tawaran itu nampak lebih menarik, butiran pekerjaan biasanya tidak jelas, dan cuma ada sedikit maklumat tentang tugas sebenar atau kelayakan yang diperlukan. Ada juga yang melangkau proses temuduga atau membuat keputusan pengambilan terlalu cepat supaya anda terjebak sebelum sempat menyoal.
Cara terbaik untuk melindungi diri adalah dengan menjadi lebih peka. Buat kaji selidik kadar gaji biasa, jangkaan skop kerja, dan proses pengambilan pekerja dalam industri yang anda mohon. Semak laman web rasmi syarikat dan platform pekerjaan yang dipercayai untuk tahu apa yang normal. Ingat, tawaran kerja yang sah sentiasa ikut proses yang betul dan ada syarat yang realistik.
🚩 #3 Isu Maklumat Peribadi dan Komunikasi
Penipu mungkin akan cuba untuk kumpul maklumat peribadi anda atau pindahkan perbualan ke luar platform rasmi untuk elak dikesan. Mereka kerap meminta maklumat sensitif seperti nombor akaun bank atau nombor kad pengenalan di awal proses untuk tujuan pencurian identiti, penipuan kewangan atau penyalahgunaan lain.
Komunikasi yang lemah juga salah satu bendera merah. Hati-hati dengan emel atau mesej yang penuh dengan kesilapan tatabahasa, penggunaan struktur ayat yang janggal dan pelakuan yang tergesa-gesa. Penipu mungkin akan menekan anda untuk membalas dengan segera, menelefon anda berulang kali, atau meminta anda meneruskan perbualan di luar platform pencarian pekerjaan yang dipercayai.
Berhati-hati jika mereka menghantar pautan yang mencurigakan, meminta untuk muat turun apa-apa fail, atau meminta maklumat peribadi yang sensitif sebelum tawaran kerja rasmi dibuat.
🚩 #4 Semak Kesahihan Syarikat
Sebelum teruja dengan tawaran kerja, luangkan beberapa minit untuk buat semakan latar belakang syarikat. Penipu sering menyamar dengan menggunakan nama syarikat palsu atau meniru nama syarikat sebenar dengan perubahan kecil yang sukar dikesan. Cara mudah untuk kenal pasti palsu adalah dengan semak alamat emel penghantar. Syarikat yang sah biasanya menggunakan domain rasmi (contoh: @namasyarikat.com), bukan domain percuma seperti @gmail.com atau @yahoo.com.
Pastikan syarikat mempunyai laman web rasmi, akaun LinkedIn yang aktif, atau wujud di platform seperti Glassdoor. Berhati-hati jika syarikat itu tiada jejak dalam talian, terdapat ulasan yang menyebut isu penipuan, ada ulasan-ulasan yang sebut tentang isu penipuan, atau laman web syarikat tersebut nampak seperti ianya dibuat secara tergesa-gesa atau tidak lengkap.
Anda juga boleh semak pengesahan syarikat melalui e-Info di SSM dan ulasan pekerja atau calon di Glassdoor untuk sahkan kewujudan syarikat.
Penipu akan mengambil kesempatan di atas rasa tergesa-gesa dan harapan tinggi seseorang calon. Semasa mencari kerja, anda patut ambil masa, buat semakan yang teliti, dan percaya naluri anda. Jika ragu-ragu, rujuk platform kerjaya yang dipercayai atau bincang dengan seseorang yang dipercayai sebelum teruskan permohonan.
Ingat: Jika sesuatu nampak pelik, kemungkinan besar ia memang pelik.

