Tahniah kerana telah menamatkan SPM atau pengajian di IPT! Itu satu pencapaian yang besar. Kini tiba langkah seterusnya: mencari kerja atau mendapatkan peluang latihan industri pertama anda. Sama ada untuk kerja sambilan atau jawatan sepenuh masa, temuduga sememangnya boleh buat anda gementar.

Tapi jangan risau! Empat tip mudah di bawah akan membantu anda menghadapi temuduga dengan yakin dan meninggalkan tanggapan yang baik!

1. Kenal pasti Kekuatan Diri dan Nilai Tambahan yang Anda Bawa

Sebelum temuduga bermula, luangkan sedikit masa untuk fikir tentang kelebihan anda. Kemahiran teknikal ialah kemahiran praktikal yang anda pelajari. Contohnya, anda mahir guna spreadsheet, tahu sunting video, atau fasih dalam bahasa lain. Kemahiran peribadi pula berkait dengan cara anda bekerja dan berinteraksi. Contohnya, anda boleh bekerja dalam pasukan, kekal teratur, atau dapat menyelesaikan masalah dengan cepat.

Anda tidak perlu pengalaman kerja formal untuk buktikan kemampuan diri. Projek atau program di sekolah, aktiviti kelab, atau pengalaman membantu perniagaan keluarga juga dikira. Contohnya, jika anda pernah memegang jawatan setiausaha Kelab Alam Sekitar, itu menunjukkan anda seorang yang teratur. Manakala jika anda pernah menjadi bendahari Kelab Keusahawanan, itu pula membuktikan anda teliti dan mahir dengan angka. Matlamatnya ialah mengenal pasti kekuatan anda dan memastikan anda bersedia menjelaskan bagaimana ia menjadikan anda calon yang sesuai untuk jawatan tersebut.

2. Kuasai Seni Memperkenalkan Diri

“Ceritakan tentang diri anda” – ini biasanya soalan pertama dalam mana-mana temuduga, dan inilah peluang untuk beri tanggapan pertama yang baik.

Gunakan struktur mudah ini:

  • Nama: Mulakan dengan nama dan dari mana anda berasal.
  • Pendidikan: Sebut pencapaian akademik terkini (contohnya, “Saya baru sahaja tamat SPM”).
  • Aktiviti: Ceritakan kelab, sukan, atau kerja sukarelawan yang pernah disertai.
  • Kemahiran: Nyatakan satu atau dua kekuatan utama anda.

Matlamat: Kongsikan apa yang ingin anda pelajari atau capai daripada jawatan tersebut.

 

Berlatihlah sehingga penyampaian anda terasa semula jadi dan bukan seperti hafalan. Keyakinan datang apabila anda tahu apa yang ingin disampaikan.

3. Jawab Soalan Temuduga dengan Kaedah STAR

Apabila penemuduga bertanya soalan seperti:

  • “Boleh ceritakan pengalaman bekerja dalam kumpulan?”
  • “Bagaimana anda urus masa jika ada banyak tugasan yang berjalan serentak?”
  • “Ceritakan situasi di mana anda terpaksa selesaikan konflik.”

Mereka sebenarnya mahu menilai kemahiran insaniah (soft skills) seperti kerjasama, pengurusan masa, dan kebolehan menyelesaikan masalah.

Kaedah STAR membantu anda beri jawapan yang jelas dan tersusun:

  • Situation (Situasi): Apa yang berlaku?
  • Task (Tugasan): Apa peranan anda?
  • Action (Tindakan): Apa yang anda lakukan?
  • Result (Hasil): Apa keputusan akhirnya?

Kaedah ini membantu anda kekal fokus walaupun pengalaman anda datang daripada sekolah, sebagai seorang sukarelawan, atau daripada kerja sambilan. Ia menunjukkan anda boleh berfikir, bertindak, dan memberi sumbangan – ciri-ciri yang sangat dihargai oleh majikan.

4. Sediakan Resume (dan Portfolio, Jika Perlu!)

Hampir semua pekerjaan memerlukan resume. Mempunyai resume menunjukkan anda serius, bersedia, dan profesional walaupun resume tersebut tidak diminta secara khusus.

Resume yang baik haruslah padat, teratur dan mudah dibaca. Gunakan bahasa yang jelas dan yakin untuk menerangkan apa yang anda lakukan, pelajari, dan capai. Sertakan:

  • Nama, maklumat perhubungan, dan lokasi
  • Latar belakang pendidikan
  • Kemahiran utama (teknikal dan peribadi)
  • Aktiviti luar atau pencapaian
  • Pengalaman kerja sambilan, latihan industri, atau sukarelawan

Jika anda berminat dalam bidang kreatif seperti reka grafik, ilustrasi, atau perniagaan atas talian, anda boleh bina portfolio ringkas untuk pamer hasil kerja anda. Ia boleh dibentangkan dalam bentuk PDF, slaid, atau laman percuma seperti Behance atau Wix.

Jangan lupa tentang kehadiran digital (online presence) anda! Bina profil LinkedIn untuk mula berhubung dengan orang dalam bidang anda . Ia juga akan memudahkan perekrut mencari anda, walaupun anda baru bermula. Lihat panduan mudah kami untuk membina profil LinkedIn anda.

Temuduga bukan sekadar sesi soal jawab, tetapi peluang untuk menunjukkan siapa diri anda. Bersikap jujur, jadi diri sendiri, dan jangan takut berkongsi kisah anda. Majikan tidak mencari kesempurnaan, sebaliknya mencari potensi, semangat, dan kesediaan untuk belajar.

Setiap temuduga ialah pengalaman berharga. Walaupun anda tidak diterima, anda tetap menimba ilmu dan keyakinan untuk temuduga seterusnya. Jika tidak mendapat maklum balas, anda boleh bertanya dengan sopan untuk mendapatkan pandangan yang boleh membantu anda memperbaiki diri.

Rasa lebih bersedia sekarang? Anda boleh lakukannya!