Kecerdasan buatan (artificial intelligence atau AI) sedang berkembang pada kadar di luar jangkaan. Daripada membantu dalam penyelidikan hingga menyiapkan tugasan sekolah, AI, terutamanya AI generatif, boleh menjadi alat yang sangat berguna. Namun, jika digunakan tanpa kawalan, ia juga boleh membawa risiko.

Sebagai pelajar, ada kelebihan jika anda mengikuti perkembangan teknologi. Namun, pada masa yang sama, penting untuk anda memahami risiko yang mungkin timbul. Berikut ialah cara menggunakan AI dengan selamat dan bertanggungjawab!

#1 Lindungi Privasi Anda

Anda mungkin sudah banyak kali dengar nasihat “lindungi privasi anda”. Tetapi apakah maksudnya dalam konteks AI? Buat masa ini, Malaysia masih belum mempunyai undang-undang khusus yang mengawal penggunaan AI. Menurut Zaid & Co., tiada satu perundangan tunggal yang mengawal selia penggunaan AI.

Apakah kesannya kepada anda?

Semua interaksi, gambar dan video yang dimuat naik ke platform AI berkemungkinan disimpan di pusat data dan berpotensi digunakan semula atau diedarkan, adakalanya tanpa kebenaran anda. Dalam erti kata lain, wajah atau maklumat peribadi anda boleh digunakan untuk tujuan yang tidak pernah dipersetujui anda, dan perlindungan undang-undang mungkin terhad.

#2 Semak Fakta Carian Anda!

AI boleh kelihatan seperti sesuatu yang ajaib atau menakjubkan kerana ia mampu menjawab soalan, meringkaskan artikel, malah boleh menulis karangan dengan sekelip mata. Namun hakikatnya, AI hanyalah sejenis enjin carian yang sangat canggih. Ia mengambil maklumat daripada kandungan awam di internet dan menyampaikan apa yang dianggap relevan.

Di sinilah risikonya: tidak semua maklumat di internet adalah tepat. Ada sumber yang lapuk, berat sebelah, atau sengaja mengelirukan. AI boleh mengambil dan mengulangi maklumat salah ini tanpa disedari, terutamanya jika anda bergantung sepenuhnya kepadanya untuk penyelidikan.

Pemikiran kritis adalah sangat penting dalam konteks ini. Sentiasa semak semula kandungan yang dijana AI dengan merujuk kepada beberapa sumber yang dipercayai. Beri perhatian dan kekal peka dengan percanggahan dan kecenderungan tertentu. Sebagai contoh, topik sejarah atau politik mungkin dipersembahkan dengan bias halus bergantung pada sumber rujukan yang digunakan oleh AI.

#3 AI untuk Membantu, Bukan Menggantikan Pemikiran Anda

AI adalah “rakan” sumbang saran (brainstorming) yang baik dalam menjana idea dan membantu penyelidikan, tetapi ia tidak sepatutnya menggantikan pemikiran anda. Kebergantung yang keterlaluan kepada AI boleh mengehadkan kreativiti dan pemikiran kritis seseorang.

Anggap AI sebagai pemangkin untuk idea anda, bukan pengganti. Contohnya, ia boleh menjana idea untuk karangan atau projek, memperbaiki ayat, atau mencadangkan kaedah pembelajaran, tetapi pandangan, analisis, dan hasil akhir kerja harus datang daripada anda.

Etika juga penting dalam penggunaan AI. Menyalahgunakannya untuk menyiapkan tugasan tanpa sumbangan sendiri boleh menjurus kepada isu-isu plagiat, ketidakjujuran akademik, atau pembelajaran yang kurang bermakna. Tips ringkas: setelah menggunakan AI untuk menjana idea, luangkan sedikit masa dan cuba menulis secara kendiri. Langkah ini membantu untuk memastikan hasil kerja akhir mencerminkan suara serta kefahaman anda sendiri.

#4 Cara-Cara Menggunakan AI Dengan Bijak

AI tidaklah menakutkan. Apabila digunakan dengan bijak, ia boleh memperbaiki pembelajaran dan meningkatkan produktiviti. Berikut adalah beberapa cara yang anda sebagai pelajar boleh memanfaatkannya:

  • Tutor Peribadi: Minta AI terangkan konsep dengan cara yang lebih mudah. Susah faham kalkulus atau kimia? AI boleh huraikan langkah demi langkah.
  • Perancang Pembelajaran: Susun jadual, tetapkan peringatan (reminders), dan pantau tugasan melaluinya. AI boleh membantu merancang masa dengan optimum dan memastikan anda kekal berdisiplin.
  • Rakan Sumbang Saran (Brainstorming): Perlukan idea untuk pembentangan, karangan, atau projek? Gunakan AI untuk cadangan soalan panduan atau prompt, sudut pandang, atau hala tuju kreativiti.
  • Pembina Kemahiran: Latih kemahiran pengekodan atau coding, belajar bahasa baru, atau berlatih cara penyelesaian masalah dengan panduan AI.
  • Pembantu Ulangkaji: AI boleh meringkaskan nota, buatkan flashcard, atau menjana soalan latihan untuk peperiksaan.

Di dalam dunia di mana AI semakin sebati dalam kehidupan seharian, penting untuk kita sentiasa peka dan berhati-hati. Lindungi privasi, semak fakta, berfikir secara kritis, gunakannya sebagai alat sokongan dan bukannya menggantikan usaha sendiri, agar anda boleh memanfaatkannya dengan selamat.

Ingat, AI wujud untuk menambahbaik proses pembelajaran, kreativiti, dan produktiviti anda, bukan untuk mengambil alih suara atau pandangan anda. Kekalkan rasa ingin tahu, gunakan AI dengan bertanggungjawab, dan jadikannya sebagai alat yang membantu anda mencapai potensi sepenuhnya tanpa menjejaskan keselamatan atau integriti diri.