Dengan kerja rumah, aktiviti ko-kurikulum, sesi ulangkaji untuk peperiksaan dan sesi belajar berkumpulan, pelajar selalunya tidak sedar bahawa mereka sedang mengurus terlalu banyak perkara secara serentak. Selain itu, mereka juga perlu masa berehat, masa untuk hobi dan masa bersantai dengan kawan-kawan. Apabila seseorang pelajar mempunyai terlalu banyak komitmen, mereka mudah rasa terbeban atau menjadi kurang pasti dengan apa yang perlu diutamakan.

Oleh itu, penting untuk para pelajar menguruskan masa secara berkesan. Ia membantu anda kekal produktif dan teratur, sekaligus mengurangkan risiko berasa terbeban, penat yang melampau atau rasa selalu letih, terutamanya pada waktu sibuk ketika sesi persekolahan.

Membina tabiat pengurusan masa yang baik sejak awal juga memudahkan peralihan ke alam dewasa. Dengan tanggungjawab yang bertambah termasuk komitmen kerja, pelbagai mesyuarat yang perlu dihadiri, dan juga masa yang perlu diluangkan untuk keluarga, ketepatan dan keteraturan masa menjadi semakin penting. Dengan mempelajari kemahiran ini sekarang, anda boleh membina kebolehpercayaan dan keyakinan untuk tahun-tahun yang akan datang.

Berikut adalah lima tips praktikal dan realistik untuk membantu anda membina tabiat pengurusan masa yang lebih baik yang boleh kekal seumur hidup.

🕑 Fahami Cara Anda Menetapkan Keutamaan

Sebelum mula menyusun jadual dan senarai tugasan, anda perlu memahami bagaimana cara semula jadi (natural) anda dalam mendekati sesuatu tugas. Setiap orang mempunyai cara yang berbeza dalam menetapkan keutamaan mereka. Ada yang mula dengan tugasan mudah untuk membina momentum, dan ada yang lebih suka menyelesaikan tugasan paling mencabar ketika tenaga mereka berada pada tahap tertinggi. Pada anda mungkin sesetengah subjek mengambil masa yang lebih lama untuk diselesaikan daripada yang lain, atau ada waktu tertentu yang anda rasa lebih produktif.

Mengenal pasti “corak” atau rentak ini membantu anda membina sistem yang sesuai untuk diri sendiri yang tidak memaksa anda mengikuti kaedah yang tidak selari dengan anda. Untuk menetapkan keutamaan dengan lebih baik, pertimbangkan yang berikut:

  • Kepentingan: Bagaimana tugasan ini mempengaruhi gred, tanggungjawab, atau kesejahteraan anda?
  • Masa yang diperlukan: Adakah tugasan ini cepat untuk diselesaikan atau memerlukan tumpuan yang lebih mendalam?
  • Tarikh akhir: Bila tugasan ini perlu disiapkan, dan adakah anda mempunyai komitmen lain pada masa yang sama?

Jawapan kepada soalan-soalan ini akan membantu anda menyusun tugasan secara realistik. Apabila anda mengetahui gaya bekerja sendiri, anda boleh mengatur rentak dengan lebih baik dan mengelak tekanan yang datang pada saat akhir.

🕑 Manfaatkan Kalendar dan Aplikasi Peringatan (Reminders)

Bukan orang dewasa yang sibuk bekerja sahaja yang perlu gunakan kalendar, malah pelajar pun perlu memanfaatkan alat ini. Kalendar adalah antara alat paling mudah dan berkesan untuk membantu pelajar “menggambarkan” masa. Dengan melihat masa anda secara visual dan jelas, anda akan kurang rasa terbeban dan ada ruang untuk bernafas di antara tugasan.

Kalendar digital (seperti Google Calendar) sangat berguna kerana ia boleh diselaraskan di semua peranti. Gunakannya untuk menetapkan peringatan bagi tarikh akhir tugasan, peperiksaan, mesyuarat kelab, malah sesi ulangkaji supaya anda tidak perlu bergantung pada memori semata-mata, atau mengambil risiko terlepas tarikh penting. Anda juga boleh menandakan masa khusus untuk fokus kepada pembelajaran, hari ulangkaji, atau jadualkan masa rehat supaya anda ada tenaga untuk teruskan aktiviti lain.

Kebanyakan kalendar digital juga boleh dikongsikan dengan orang lain seperti ibu bapa atau ahli keluarga. Ini memudahkan anda melihat bila mereka sibuk, dan seterusnya membantu anda merancang perjalanan atau aktiviti sendiri dengan lebih realistik.

🕑 Belajar Membahagi dan Berkongsi Tanggungjawab

Ramai pelajar (dan juga orang dewasa!) berfikir, “Lagi senang kalau saya buat semuanya sendiri.” Walaupun anda rasa begitu, menggalas semua tanggungjawab sendiri boleh buat anda cepat letih, terutama sekali apabila mengurus pelbagai tanggungjawab serentak.

Membahagikan tugas bukan tanda kelemahan tapi merupakan kemahiran pengurusan masa yang bijak. Dalam sesebuah projek berkumpulan, kongsi tanggungjawab secara adil dan jangan pikul keseluruhan beban kerja seorang diri. Nilai kekuatan setiap orang secara terbuka, tetapkan jangkaan kerja yang jelas, dan semak perkembangan dari semasa ke semasa sebagai sebuah pasukan. Kerja anda akan menjadi lebih ringan dan seronok apabila tugasan dibahagikan dengan adil dan betul.

Selain kerja sekolah, jangan segan untuk minta bantuan dengan tugasan-tugasan lain yang memerlukan banyak masa atau tenaga. Ini termasuk tanggungjawab peribadi seperti kerja rumah, urusan harian, atau merancang aktiviti bersama keluarga dan rakan. Kemahiran untuk mengetahui bila anda perlukan sokongan adalah kemahiran yang berguna walaupun selepas zaman pelajar.

🕑 Tumpuan Itu Penting – Hadkan Kerja Serentak (Multitasking)

Ramai orang percaya melakukan pelbagai perkara secara serentak membantu mereka menyelesaikan lebih banyak kerja. Sebenarnya, mengalihkan tumpuan dengan pantas antara beberapa tugasan boleh melambatkan dan menurunkan kualiti kerja anda. Apabila perhatian anda terbahagi, otak memerlukan lebih masa untuk menyesuaikan diri, dan ini menyebabkan tugasan yang mudah terasa lebih panjang dan meletihkan. Memberi tumpuan kepada satu tugasan pada satu masa membantu anda menyiapkannya lebih cepat dan dengan hasil yang lebih baik.

Mewujudkan persekitaran tanpa gangguan juga memainkan peranan besar: letakkan telefon pada mod senyap, tutup tab di komputer yang tiada kepentingan, dan pastikan ruang kerja anda kemas. Jika susah untuk memberi tumpuan, cuba teknik mudah seperti kaedah Pomodoro, di mana anda bekerja selama 25 minit dan berehat selama 5 minit. Pecahan masa fokus sebegini boleh meningkatkan produktiviti dengan ketara.

Satu lagi cara berguna ialah dengan menyimpan “senarai kemudian.” Apabila fikiran terganggu, contohnya anda tiba-tiba teringat untuk membalas mesej rakan, semak emel, atau mencari maklumat di internet, catatkan dalam senarai itu sebagai perkara yang perlu diselesaikan kemudian. Ini membantu minda kekal jelas dan menumpukan perhatian tanpa perlu risau kalau anda terlupa sesuatu.

🕑 Rancang untuk Hari Esok pada Hari Ini

Merancang dengan lebih awal boleh membantu anda mengurangkan keletihan dalam membuat keputusan (decision fatigue) ini adalah detik-detik kecil yang meletihkan apabila anda perlu sentiasa memikirkan “Apa yang saya perlu buat selepas ini?

Dengan meluangkan hanya lima minit setiap malam untuk merancang hari seterusnya, anda boleh elakkan diri daripada rasa tergesa-gesa pada saat akhir dan memberi ruang di minda untuk fokus pada kerja sebenar.

Gunakan buku nota, aplikasi perancang (reminders), atau aplikasi nota di telefon untuk senaraikan tugasan, anggarkan masa setiap tugasan, dan tentukan mana yang perlu dilakukan terlebih dahulu. Konsistensi itu penting, membina tabiat harian ini membantu anda kekal teratur, produktif, dan mengurangkan tekanan dari masa ke masa.

Dengan melakukan perkara-perkara ini, anda akan mula merasai betapa lebih lancar dan terkawal hari-hari anda. Cuba tips ini dan lihat perbezaannya sendiri!