
“Saya belajar lagi, kenapa pula saya perlu ambil tahu tentang insurans sebelum mula bekerja?” Kerana bila anda faham asas insurans dari sekarang, pengurusan kewangan bila dewasa nanti jadi jauh lebih senang!
Insurans adalah cara untuk melindungi diri dari segi kewangan apabila perkara yang tak dijangka berlaku. Bayangkan ia sebagai payung perlindungan: anda bayar sejumlah kecil setiap bulan atau tahun (premium), dan sebagai balasan, syarikat insurans membantu menampung kos besar jika berlakunya sesuatu seperti kecemasan perubatan, kemalangan atau yuran pendidikan.
Walaupun ibu bapa anda mungkin sudah ambil insurans untuk anda, masih penting untuk anda sendiri faham bagaimana ia berfungsi. Sebab bila anda semakin dewasa dan mula menjana pendapatan sendiri, pengetahuan tentang insurans akan membantu anda membuat keputusan kewangan dengan bijak.
Dalam artikel ini, kita akan lihat 4 jenis insurans dan kepentingannya yang wajar diketahui oleh setiap anak muda di Malaysia:
1. Insurans Kesihatan
Kos rawatan dan perubatan boleh menjadi sangat mahal. Penginapan pesakit di hospital, pembedahan, atau rawatan jangka panjang boleh menelan belanja puluhan ribu ringgit. Walaupun anda rasa masih muda dan sihat sekarang, kemalangan dan penyakit boleh berlaku tanpa diduga, dan lapisan perlindungan kewangan atau payung perlindungan penting apabila perkara yang tak diduga berlaku.
Di sinilah insurans kesihatan memainkan peranan. Dengan bayaran bulanan yang tetap dipanggil premium, anda mendapat perlindungan mengikut polisi yang anda pilih. Ini bermakna jika anda memerlukan rawatan perubatan, insurans boleh menampung atau menanggung sebahagian besar kos, supaya anda tidak perlu membayar semuanya sendiri.
Kenapa ini penting untuk ANDA:
- Kemalangan boleh berlaku bila-bila: Lagi-lagi kerana ramai anak muda di Malaysia menunggang motosikal atau memandu kereta.
- Penyakit tidak mengenal umur: Pembedahan ringkas seperti buang apendiks atau rawatan demam denggi tidak mengira umur dan boleh menjadi mahal
- Keyakinan kewangan: Anda dan keluarga anda boleh mengurus situasi tidak dijangka tanpa kerisauan tambahan.
2. Insurans Hayat
Insurans hayat adalah salah satu cara untuk memastikan orang yang tersayang mendapat sokongan kewangan sekiranya perkara yang tidak dijangka berlaku, contohnya jika anda meninggal dunia atau, dalam sesetengah kes, menghadapi kekurangan upaya secara kekal.
Berbeza dengan insurans kesihatan yang membantu membayar bil perubatan, insurans hayat memberikan pembayaran sekali gus (payout) yang boleh digunakan oleh keluarga anda untuk perkara-perkara seperti perbelanjaan harian, pendidikan, atau perancangan masa depan.
Kenapa ini penting untuk ANDA:
- Lagi muda, lagi murah: Premium biasanya lebih rendah jika anda mula dari awal, jadi anda akan jimat lebih banyak dalam jangka masa panjang.
- Keselamatan masa hadapan: Apabila anda mula bekerja, insurans hayat boleh pastikan keluarga anda ada payung perlindungan.
3. Insurans Pendidikan
Pendidikan merupakan salah satu perbelanjaan terbesar bagi keluarga di Malaysia. Jika anda baru sahaja habis SPM, anda mungkin sudah mula mencari biasiswa, pinjaman, atau bantuan kewangan lain (semak senarai sumber yang tersedia di sini). Selain daripada biasiswa dan pinjaman, insurans pendidikan (juga dikenali sebagai rancangan simpanan pendidikan) merupakan satu lagi cara bagi keluarga untuk merancang kos pendidikan yang tinggi pada masa hadapan.
Ibu bapa membayar premium secara tetap, dan dari semasa ke semasa, jumlah tersebut berkembang menjadi dana yang boleh digunakan untuk pengajian masa depan anak. Bergantung pada polisi yang dipilih, ia juga boleh memberikan perlindungan kewangan sekiranya berlaku perkara yang tidak diduga kepada ibu bapa dan memastikan pendidikan anak tetap terjamin.
Kenapa ini penting untuk ANDA:
- Kurang tekanan kewangan: Insurans pendidikan membantu ibu bapa bersedia lebih awal, supaya anda tidak perlu terlalu risau tentang pembiayaan pengajian.
- Lebih kebebasan dan fleksibiliti: Sama ada anda mendapat biasiswa atau tidak, insurans pendidikan memberi dana tambahan untuk menampung yuran, kos hidup, buku, atau membuka peluang untuk memilih kursus dan universiti yang lebih baik.
4. Insurans Kenderaan
Insurans kenderaan ialah jenis perlindungan yang melindungi anda dan kenderaan anda daripada kerugian kewangan akibat kemalangan, kecurian, atau kerosakan. Di Malaysia, insurans kereta adalah wajib, tetapi ia tidak diwajibkan untuk motosikal walaupun motosikal merupakan pengangkutan kedua paling popular di negara ini.
Dengan membayar premium secara tahunan semasa pembaharuan cukai jalan, anda akan mendapat perlindungan mengikut polisi yang dipilih. Kos insurans bergantung kepada faktor seperti jenis, nilai pasaran dan usia kenderaan, pengalaman memandu, dan sebarang tambah nilai tambahan (contohnya perlindungan banjir atau cermin depan).
Kenapa ini penting untuk ANDA:
- Perlindungan daripada kos yang tak dijangka: Kemalangan atau kecurian boleh menelan belanja ribuan ringgit, tetapi insurans membantu menampung kerugian tersebut.
- Terutamanya untuk penunggang motosikal: Kemalangan melibatkan penunggang motosikal selalu berlaku di Malaysia dan insurans memastikan anda dilindungi dari segi kewangan. 65% daripada kemalangan jalan raya di Malaysia melibatkan penunggang motosikal.
Selain insurans kesihatan, hayat, pendidikan, dan kenderaan, terdapat banyak jenis insurans lain seperti insurans persaraan, perlindungan kemalangan peribadi, dan takaful keluarga. Apabila anda semakin dewasa dan mula mengurus kewangan sendiri, cuba jadikan insurans sebagai sebahagian daripada perancangan kewangan anda. Mempunyai insurans bukan bermakna anda mahukan perkara buruk untuk berlaku. Ia sekadar menunjukkan anda bersedia, dan persediaan itu boleh membuat perbezaan yang besar.

