Jika anda berada pada tahun pertama atau kedua universiti, kemungkinan besar anda pernah dengar orang bercakap tentang latihan industri. Latihan industri ialah penempatan jangka pendek (biasanya 3 hingga 6 bulan) di mana anda berpeluang merasai pengalaman sebenar dunia pekerjaan sebagai pelajar dan mendapatkan pendedahan tentang bagaimana industri pilihan anda beroperasi.

Latihan industri bukan sekadar untuk mengumpul pengalaman kerja, tapi ia juga merupakan peluang baik untuk bertanya soalan, meneroka minat, dan membina hubungan yang boleh membantu kerjaya anda pada masa hadapan!

Jika anda bakal memulakan latihan industri, atau sedang berfikir sama ada ingin buat permohonan atau tidak, berikut adalah beberapa perkara yang boleh anda jangka pada hari pertama (dan seterusnya).

1. Ambil Inisiatif Sendiri

Semasa anda baru bermula, anda mungkin tidak berapa sibuk dengan kerja. Anda mungkin hanya duduk dalam mesyuarat atau bantu dengan tugasan kecil. Itu normal kerana ramai penyelia suka mengajar pelatih secara berperingkat.

Tapi rahsianya: jangan tunggu arahan. Ambil inisiatif! Tawarkan diri untuk membantu, jadi sukarelawan untuk projek kecil, atau minta untuk mengikuti (shadow) seseorang dari jabatan yang anda ingin faham dengan lebih lanjut. Apabila anda menunjukkan minat yang tulus, orang akan perasan dan lebih yakin untuk memberi anda tanggungjawab yang lebih besar.

Semakin banyak tugasan yang anda libatkan diri, semakin banyak yang anda boleh belajar. Tugasan mudah pun boleh mengajar anda tentang cara berkomunikasi dalam pasukan, proses mencapai tarikh akhir (deadline), dan bagaimana mengurus jangkaan orang lain.

2. Berinteraksi dengan Rakan Sekerja Juga Membuka Peluang Mebina Rangkaian (Networking)

Kerja adalah bahagian penting dalam latihan industri anda, tetapi jangan pandang rendah terhadap kuasa perbualan santai. Setiap kali anda mengucapkan “Hai, hujung minggu lepas buat apa?” di pantri atau sembang ringkas selepas mesyuarat, ia merupakan sebahagian daripada membina rangkaian ataupun networking. Interaksi kecil ini membantu anda membina hubungan dan membuatkan rakan sekerja lebih mudah mendekati anda.

Networking tidak terhad pada waktu pejabat sahaja. Banyak syarikat menganjurkan aktiviti membina pasukan, makan potluck, sambutan perayaan, dan sukan santai hujung minggu seperti futsal, badminton, atau pickleball. Acara sebegini adalah peluang emas untuk berhubung dengan ahli pasukan di luar suasana kerja biasa. Perbualan dalam suasana ini biasanya melangkaui topik projek dan memberi anda peluang untuk mengetahui minat, perjalanan kerjaya, dan personaliti rakan sekerja.

Dengan hadir ke acara-acara ini dan mengambil bahagian, anda menunjukkan bahawa anda bukan sekadar datang untuk datang kerja, balik kerja, tetapi benar-benar berminat menjadi sebahagian daripada pasukan. Hubungan ini boleh menjadikan latihan industri anda lebih seronok dan mungkin membuka pintu kepada peluang masa hadapan.

3. Peluang untuk Membuat Kesilapan

Antara perkara yang terbaik masa menjadi pelatih industri ialah, rakan sekerja tak menharapkan anda terus faham kesemuanya. Kesilapan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran. Penyelia anda faham bahawa anda masih belajar cara dunia profesional berfungsi dan akan membimbing anda apabila anda tidak memahami sesuatu.

Gunakan masa ini untuk mencuba idea anda, meneroka kemahiran baru, dan mengenal pasti jenis kerja yang anda minat. Mungkin anda akan sedar bahawa anda suka mengurus acara atau bahawa analisis data bukanlah bidang yang sesuai untuk anda.

Yang paling penting ialah anda belajar, buat renungan, dan berkembang daripada pengalaman tersebut.

4. Belajar Budaya, Istilah, dan Peraturan Sosial Tempat Kerja

Setiap tempat kerja mempunyai bahasa, budaya, dan rentak tersendiri. Anda akan perasan orang menggunakan istilah tertentu (“let’s take this offline”, “loop in”, “deliverables”) atau mengikuti peraturan tidak bertulis seperti membalas emel dengan cepat atau menggunakan kata nama formal untuk menghormati rakan sekerja yang lebih senior.

Rahsianya adalah untuk perhatikan terlebih dahulu sebelum memutuskan cara untuk menampilkan diri. Bayangkan anda masuk komuniti baru: anda tidak akan terus menonjolkan gaya sendiri tanpa memahami cara komuniti itu berfungsi. Sesetengah tempat kerja sangat formal dan teratur, manakala yang lain lebih santai dan bersahaja. Tiada yang “lebih baik”, tetapi menyesuaikan diri dengan persekitaran menunjukkan tanda hormat dan sifat profesionalisme.

Keserasian budaya bukan bermakna anda hilang identiti, tetapi belajar bagaimana menavigasi persekitaran yang berbeza. Keupayaan menyesuaikan diri ialah kemahiran yang akan berguna dalam mana-mana kerjaya.


Mungkin anda rasa takut untuk mulakan latihan industri, tetapi ingat: ini adalah peluang untuk belajar, bukan ujian. Anda tidak dijangka untuk tahu segala jawapan, yang penting ialah menunjukkan rasa ingin tahu, usaha, dan kesediaan untuk belajar.

Jadi, ambil inisiatif, berinteraksi dengan orang lain, cuba dengan berani, dan serap sebanyak mungkin ilmu. Siapa tahu, ini mungkin langkah pertama menuju kerjaya masa depan anda.

➡️ Untuk persediaan lebih lanjut, terokai panduan kami tentang cara membina profil pencarian kerja dan jangan terlepas artikel kami tentang tips mudah untuk berjaya dalam temuduga kerja pertama. Gabungan sumber ini akan membantu anda bergerak dengan yakin daripada latihan industri ke pekerjaan sepenuh masa pertama.