Pengenalan
Dalam pasaran pekerjaan yang semakin kompetitif, ia adalah penting untuk meneroka semua jalan untuk mencari pekerjaan yang baik. Salah satu cara untuk berbuat demikian ialah dengan mencipta profil profesional untuk diri sendiri di pelbagai platform Carian Kerja.
Setiap platform carian kerja mempunyai ciri tersendiri. Anda boleh memilih platform yang paling sesuai dengan pencarian kerjaya anda:
- LinkedIn: Platform LinkedIn berfungsi sebagai media sosial profesional. Selain daripada mencari kerja, anda juga boleh berkongsi pendapat dan berhubung dengan pihak lain. Platform ini diguna pakai secara lebih luas di seantero dunia.
- Jobstreet: Platform Jobstreet diguna pakai secara meluas di Asia Tenggara. Pelbagai jenis peluang kerjaya diiklankan di Jobstreet.
- Hiredly: Platform Hiredly diguna pakai oleh syarikat tempatan. Antara ciri yang khas platform ini ialah anda boleh mencari peluang Internship melalui Hiredly.
- Maukerja: Platform Maukerja diguna pakai oleh syarikat tempatan. Platform ini mengiklankan lebih banyak kerjaya yang bukan eksekutif (seperti pekerja restoran, khidmat pelanggan dan banyak lagi).
Semasa membuat profil, terdapat beberapa perkara yang perlu diingat untuk memastikan anda mempunyai peluang terbaik untuk mendapatkan temu duga atau pekerjaan. Baca terus untuk mengetahui lebih lanjut!
1. Gambar Profil
Untuk kebanyakan platform, anda akan diminta memuat naik gambar profil diri anda. Memasukkan foto diri anda membantu mewujudkan kredibiliti dan juga boleh membantu anda menonjol daripada orang ramai. Walau bagaimanapun, ia adalah penting untuk memastikan bahawa gambar yang anda pilih adalah profesional dan sesuai.
Untuk memastikan anda mempunyai gambar profil profesional, lihat senarai semak di bawah:
- Pakai pakaian yang bersesuaian: Pakai kemeja dan pakaian lain yang tampil profesional
- Jangan bergambar sambil ‘posing’ yang kurang bersopan
- Jangan gunakan ‘selfie’ sebagai foto profil anda: minta ibu bapa, guru atau rakan untuk ambilkan gambar yang bersesuaian
- Wajah anda perlu menjadi tumpuan foto
- Senyum secara selesa
2. Maklumat Profil
Seterusnya, satu perkara yang penting dalam profil carian kerja ialah untuk memastikan semua maklumat yang berkaitan diisi dengan tepat. Mengisi separuh sahaja profil anda tidak meninggalkan kesan yang baik kepada orang lain yang mungkin melihat profil anda. Berikut ialah beberapa maklumat penting yang perlu diisikan:
- Ringkasan Profil: Memperkenalkan diri anda dan gunakan peluang ini untuk menonjolkan personaliti anda.
- Pendidikan: Jelaskan jurusan yang anda pelajari, keputusan sekolah, subjek yang anda paling mahir, dan lain-lain.
- Kemahiran: Tunjukkan kemahiran yang anda berasa bangga, sama ada kemahiran teknikal (seperti pengurusan IT) atau kemahiran insaniah (seperti berkomunikasi). Bagi contoh untuk membantu pihak majikan menilai kemahiran anda.
- Pengalaman Pekerjaan dan Aktiviti Kokurikulum: Pihak majikan menitikberatkan pengalaman anda! Pengalaman pekerjaan dan kokurikulum anda adalah bukti yang paling baik untuk menunjukkan kesesuaian anda untuk pekerjaan itu. Terangkan peranan anda dalam tugasan yang anda pernah lakukan.
- Anugerah Sekolah: Selain itu, anugerah yang anda pernah capai juga adalah bukti yang berkesan untuk membuktikan keupayaan anda.
- Portfolio: Portfolio (contoh kerja) boleh ditampil sebagai bukti pengalaman, terutamanya jika anda memohon kerja sebagi seorang jurugambar atau pereka. Bukti kerja anda penting supaya pihak majikan boleh menilai keupayaan anda.
3. Memastikan Profil Anda Kelihatan Profesional
Sebaik sahaja anda selesai mengisi profil anda dengan semua maklumat yang berkaitan, pastikan anda membuat semakan untuk memastikan ia tidak ada kesalahan ejaan. Anda juga boleh minta tolong seseorang untuk melihat profil anda untuk membantu mengesan sebarang kesilapan.
Pastikan alamat emel yang telah anda gunakan pada profil Carian Kerja adalah profesional.
- Alamat emel yang tidak sesuai: [email protected]
- Alamat emel yang sesuai: [email protected]
4. Muat Naik Resume Anda Ke Platform
Untuk memanfaatkan sepenuhnya platform carian kerja, pastikan anda memuat naik Resume terkini anda ke profil anda. Pastikan Resume anda dikemas kini pada setiap masa pada profil anda. Sesetengah platform pekerjaan juga menggunakan ‘Artificial Intelligence’ untuk memadankan Resume anda dengan pekerjaan yang sesuai!
Secara Keseluruhannya
Akhir sekali, untuk mendapat peluang terbaik untuk mendapatkan pekerjaan dengan menggunakan platform pekerjaan dalam talian, pastikan profil anda dikemas kini serta aktif pada setiap masa. Platform tertentu seperti LinkedIn membolehkan anda untuk berinteraksi dengan orang lain.
Pada zaman sekarang, kebanyakan pihak majikan menggunakan platform carian kerja untuk mencari pekerja. Keupayaan untuk menonjolkan diri anda melalui platform sedemikian adalah kemahiran yang amat penting. Walaupun anda mungkin mencari kerja melalui pameran kerjaya atau secara bersemuka, profil digital anda akan dirujuk. Maka, anda digalakkan untuk membina profil anda lebih awal!
Muat turun sumber ini untuk rujukan masa hadapan.