
Tahniah! Sama ada daripada kerja sambilan (part-time job), latihan industri (internship atau projek bebas (freelance work), gaji pertama adalah detik penting dalam hidup. Tambahan pula, apabila ada pendapatan sendiri, anda akan lebih berdikari.
Kebiasaannya, gaji siswazah yang baru tamat pembelajaran berada dalam lingkungan RM2,500 hingga RM4,000 sebulan. Untuk pelajar yang bekerja secara sambilan, pendapatan bulanan boleh berada dalam lingkungan RM500 hingga RM1,500, bergantung kepada jumlah masa bekerja dan jenis pekerjaan.
Sekilas pandang, nilai-nilai ini mungkin nampak banyak lagi-lagi jika ini kali pertama anda bekerja. Walau bagaimanapun, untuk membantu anda menguruskan kewangan dengan lebih berkesan, anda perlu memahami ke mana gaji anda disalurkan.
Gaji Kasar vs Gaji Bersih
Gaji kasar anda adalah jumlah yang dibayar majikan sebelum sebarang potongan. Bayaran kerja lebihan masa, komisen, bonus dan elaun juga termasuk dalam gaji kasar, bergantung kepada terma pekerjaan anda.
Manakala gaji bersih pula adalah jumlah yang anda terima selepas potongan KWSP, PERKESO, SIP, dan cukai pendapatan (jika berkenaan) daripada gaji kasar anda.
Penting untuk anda fahami perbezaan antara gaji kasar dan gaji bersih apabila merancang dan menguruskan kewangan kerana gaji bersih adalah jumlah sebenar yang anda terima untuk perbelanjaan, simpanan, dan komitmen kewangan lain,
Jadi, kenapa jumlah yang masuk ke akaun anda tidak sama dengan gaji kasar? Mari kita lihat beberapa jenis potongan yang biasanya tertera pada slip gaji.
1. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
KWSP ialah skim simpanan persaraan wajib di Malaysia, di mana sebahagian daripada gaji anda diketepikan setiap bulan untuk membantu anda membina simpanan jangka panjang bagi kegunaan selepas bersara.
Ini adalah contoh pecahan sumbangan KWSP bagi gaji bulanan RM4,000, berdasarkan kadar caruman standard sebanyak 11% untuk pekerja dan 13% untuk majikan:

–
Selain wang persaraan, simpanan KWSP juga boleh digunakan untuk membeli rumah atau menanggung kos perbelanjaan tinggi, sekali gus membantu anda melalui fasa-fasa penting dalam kehidupan.
Untuk membantu anda imbangi simpanan jangka masa panjang dengan keperluan semasa, sumbangan KWSP dibahagikan kepada tiga jenis akaun yang berbeza:
| Akaun 1: Akaun Persaraan | 75% daripada sumbangan KWSP anda | Akaun utama untuk simpanan persaraan. Wang dalam akaun ini secara umumnya tidak boleh dikeluarkan dan hanya boleh dikeluarkan apabila anda mencapai umur pengeluaran yang ditetapkan, iaitu 55 tahun. |
|---|---|---|
| Akaun 2: Akaun Sejahtera | 15% daripada sumbangan KWSP anda | Akaun ini untuk membantu anda mencapai matlamat penting dalam hidup seperti membeli rumah, membiayai pendidikan tinggi, menampung perbelanjaan penjagaan kesihatan dan menunaikan haji. |
| Akaun 3: Akaun Fleksible | 10% daripada sumbangan KWSP anda | Sebuah simpanan fleksibel yang boleh dikeluarkan apabila diperlukan. |
2. Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)
PERKESO ialah sebuah skim perlindungan sosial yang menyediakan bantuan kewangan dan sokongan sekiranya anda tidak dapat bekerja akibat kecederaan, hilang upaya, penyakit atau keadaan luar jangkaan yang lain.
Berbeza dengan KWSP, PERKESO bukan sebuah akaun simpanan. Wang yang dicarum tidak terkumpul atas nama anda. Sebaliknya, caruman tersebut digunakan untuk membiayai skim perlindungan yang menyediakan bantuan apabila pekerja berdepan dengan situasi di luar jangkaan.
Kenapa Anda Perlu Ambil Tahu Tentang PERKESO?
Bayangkan anda menunggang motosikal ke tempat kerja dan terlibat dalam kemalangan sehingga tidak dapat bekerja selama beberapa bulan. Tanpa pendapatan, membayar perbelanjaan harian, kos rawatan perubatan dan proses pemulihan boleh menjadi satu cabaran.
Di sinilah PERKESO memainkan peranan. Bergantung kepada keadaan anda, PERKESO mungkin menyediakan:
- Rawatan perubatan dan bantuan pemulihan
- Faedah hilang upaya sementara
- Faedah hilang upaya kekal
- Faedah keilatan
- Faedah untuk ahli keluarga tanggungan yang layak
Sebelum ini, perlindungan PERKESO kebanyakannya meliputi kemalangan yang berlaku di tempat kerja atau ketika seseorang dalam perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja. Dengan pengenalan skim LINDUNG 24 JAM, PERKESO kini menyediakan perlindungan selama 24 jam yang boleh turut meliputi kemalangan yang berlaku di luar waktu bekerja.
3. Sistem Insurans Pekerjaan (SIP)
Jika PERKESO melindungi anda daripada kemalangan, kehilangan upaya dan penyakit tertentu, SIP pula menyediakan bantuan sekiranya anda kehilangan pekerjaan bukan disebabkan oleh kesalahan anda sendiri. Sebagai contoh, jika syarikat anda menjalani proses penstrukturan semula dan jawatan anda tidak lagi diperlukan.
Kehilangan pekerjaan boleh menjadi sesuatu yang mencemaskan, terutama apabila anda masih perlu membayar bil dan mengurus perbelanjaan harian. Di sinilah SIP boleh membantu dengan menyediakan sokongan seperti:
- Bantuan kewangan sementara
- Perkhidmatan padanan pekerjaan
- Kaunseling kerjaya
- Program latihan kemahiran
Jika anda memenuhi syarat kelayakan, anda boleh memohon faedah atau bantuan PERKESO dan SIP melalui portal perkhidmatan dalam talian PERKESO. Dokumen sokongan seperti surat pemberhentian kerja dan maklumat pekerjaan mungkin diperlukan semasa proses permohonan.
4. Cukai Pendapatan (PCB)
Pemotongan Cukai Bulanan (PCB) ialah sebuah sistem di mana majikan akan memotong cukai pendapatan daripada gaji anda bagi pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN). Anggap sahaja cukai pendapatan sebagai sumbangan kepada perkhidmatan awam seperti sektor kesihatan, pendidikan, infrastruktur dan kemudahan awam yang memanfaatkan semua rakyat Malaysia.
Jumlah cukai yang dibayar bergantung kepada tahap pendapatan anda, pelepasan cukai dan faktor-faktor lain. Malaysia menggunakan sistem cukai progresif. Ini bermaksud mereka yang berpendapatan lebih tinggi membayar lebih banyak cukai daripada mereka yang berpendapatan lebih rendah.
Sebagai graduan yang baru tamat belajar, jumlah cukai yang anda perlu bayar mungkin tidak banyak atau tiada langsung, bergantung kepada tahap pendapatan anda. Walau bagaimanapun, jika anda fahamkan cara cukai berfungsi dari awal, ia boleh membantu anda mengurus kewangan dengan lebih baik, seiring dengan perkembangan kerjaya dan peningkatan pendapatan anda. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang cukai, anda boleh melayari portal LHDN atau rujuk panduan ini untuk menganggarkan jumlah cukai berdasarkan gaji anda!
5. Elaun & Faedah Berupa Barangan (BIK)
Selain gaji asas, kebanyakan majikan menawarkan elaun tambahan dan faedah seperti elaun perjalanan, elaun makanan, bonus, perlindungan perubatan dan aturan kerja secara fleksibel sebagai tawaran dalam pakej ganjaran keseluruhan anda. Ini bertujuan untuk membantu menampung perbelanjaan berkaitan pekerjaan, meningkatkan kesejahteraan pekerja dan menjadikan pakej pekerjaan yang ditawarkan lebih menarik.
Penting juga untuk anda tahu bahawa setiap elaun dan faedah mungkin tertakluk kepada potongan yang berbeza. Beberapa Elaun atau BIK mungkin tertakluk kepada potongan KWSP, PERKESO, SIP atau cukai, manakala yang lain mungkin tidak. Cara ia dikira bergantung kepada jenis elaun atau faedah yang diberikan.
Apabila menilai sesuatu tawaran pekerjaan, luangkan masa untuk melihat lebih daripada sekadar gaji asas. Memahami keseluruhan pakej ganjaran yang ditawarkan boleh memberi anda gambaran yang lebih jelas tentang nilai sebenar yang ditawarkan oleh majikan.
Semoga berjaya!
Sekarang anda sudah tahu cara membaca slip gaji, maka anda lebih bersedia untuk memahami di mana sebahagian wang gaji anda disalurkan. Ingat, gaji pertama memang mengujakan, tetapi yang lebih penting ialah belajar membuat bajet dan mengurus kewangan dengan bijak supaya anda dapat membina kewangan yang lebih kukuh untuk jangka panjang.

