Mungkin anda pernah ternampak slogan seperti “Bayar secara ansuran selama tiga bulan!” semasa melayari internet atau berjalan-jalan di pusat membeli-belah. Sejak kebelakangan ini, sistem Beli Sekarang, Bayar Kemudian atau Buy Now, Pay Later (BNPL) menjadi kaedah pembayaran yang sering digunakan kerana cara ini membuatkan pembelian terasa lebih mampu milik.

Ramai yang menganggap BNPL memberikan mereka fleksibiliti dan kemudahan di samping membolehkan mereka menguruskan kewangan dengan lebih baik. Namun begitu, jika digunakan tanpa kawalan atau disiplin, ia boleh membuatkan anda berbelanja lebih daripada kemampuan dan seterusnya menyebabkan tekanan kewangan.

Sebelum anda memilih BNPL untuk membuat pembelian seterusnya, mari kita lihat bagaimana sistem ini berfungsi, perbezaannya dengan kad kredit, serta faedah dan risiko penggunaan BNPL.

Apakah Sistem Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL)?

BNPL ialah kaedah pembiayaan jangka pendek yang membolehkan pengguna terus membeli produk atau mendapatkan perkhidmatan dan membayarnya secara ansuran.

Walaupun kaedah pembayaran ansuran bukan perkara yang baru, BNPL mempercepatkan dan mempermudahkan proses ini. Kalau dahulu anda perlu mengisi borang yang panjang dan tunggu berhari-hari untuk kelulusan, kini banyak perkhidmatan BNPL menawarkan proses pendaftaran yang mudah dan ringkas supaya anda boleh menggunakannya serta-merta.

Pada awalnya, BNPL selalunya digunakan untuk membahagikan jumlah pembelian kepada tiga atau empat ansuran bulanan. Kini, banyak penyedia BNPL menawarkan tempoh bayaran yang lebih lama, malah ada yang melebihi 12 bulan, terutama sekali untuk pembelian yang lebih mahal seperti komputer riba, telefon pintar atau perabot.

Tempoh bayaran balik yang lebih panjang membuatkan pembelian besar terasa lebih mampu milik. Namun, ansuran yang lebih kecil juga bermakna anda akan terikat dengan komitmen tersebut lebih lama.

BNPL vs Kad Kredit: Apa Bezanya?

BNPL dan kad kredit selalu dibandingkan kerana kedua-duanya membolehkan anda membeli sesuatu sekarang dan membayar kemudian. Tetapi kedua-duanya berfungsi dengan cara yang berlainan dan direka untuk tabiat perbelanjaan yang berbeza.

Secara mudahnya:

  • BNPL ibarat pelan bayaran untuk satu pembelian tertentu. Selepas anda selesai membayar pembelian tersebut, pelan itu tamat.

  • Kad kredit pula ada had kredit, iaitu jumlah maksimum yang dibenarkan oleh bank untuk anda gunakan. Anda boleh terus menggunakan kad tersebut untuk pembelian lain selagi tidak melebihi had tersebut dan membuat bayaran balik mengikut syarat yang dipersetujui.
BNPL Kad Kredit
Kadar bayaran tetap Had kredit yang boleh digunakan semula (revolving credit limit)
Biasanya tiada faedah jika bayaran dibuat tepat pada masanya Faedah mungkin dikenakan jika baki tertunggak tidak dibayar sepenuhnya
Biasanya lebih mudah dan cepat untuk membuat permohonan Biasanya memerlukan penilaian kredit yang lebih menyeluruh
Setiap pembelian biasanya mempunyai pelan bayaran balik sendiri Semua pembelian akan dipaparkan dalam penyata bulanan yang sama dan anda perlu menjelaskan baki keseluruhan yang tertera
Biasanya menawarkan ganjaran yang terhad Mungkin menawarkan pulangan tunai, mata ganjaran, mata penerbangan atau perlindungan pembelian

BNPL Sebagai Pilihan Kewangan Yang Bijak

BNPL, seperti produk kewangan yang lain, hanyalah sebuah kaedah pembayaran. Jika digunakan dengan bijak, ia boleh membantu anda menguruskan kewangan dengan lebih baik dan memberi anda lebih ruang untuk mengurus aliran tunai apabila membuat pembelian. Namun begitu, anda perlu menggunakannya secara terancang dan berdisiplin.

Berikut ialah contoh-contoh di mana BNPL mungkin berguna:

Bagaimana BNPL Boleh Menjadi Perangkap

Jika digunakan dengan bertanggungjawab, BNPL adalah kaedah pembayaran yang berguna. Namun begitu, ia juga boleh menimbulkan masalah kewangan jika digunakan tanpa kawalan. Kemudahan membayar secara ansuran boleh membuatkan pembelian terasa lebih ‘murah’ atau ringan, sehingga anda mungkin berbelanja lebih daripada yang dirancang tanpa menyedari jumlah bayaran yang terkumpul.

Berikut ialah beberapa contoh di mana BNPL boleh menjadi perangkap kewangan:

Secara Ringkas

Gunakan BNPL jika… JANGAN GUNA jika…
Ia membantu anda mengurus pembelian yang sudah dirancang. Ia membolehkan anda membeli sesuatu di luar kemampuan.
Anda mampu membayar ansuran bulanan tanpa menjejaskan matlamat kewangan lain. Ansuran bulanan nampak mampu dibayar, tetapi jumlah keseluruhan melebihi bajet.
Anda menggunakannya untuk keperluan belajar atau bekerja. Anda menggunakannya untuk pembelian impulsif atau menaik taraf gaya hidup.
Anda faham syarat bayaran balik dan boleh membayar tepat pada masanya. Anda sudah mempunyai terlalu banyak komitmen BNPL yang lain untuk diurus.

Apa yang Perlu Anda Buat Jika Sudah Terperangkap dalam Kitaran BNPL?

Jika anda sudah ada beberapa komitmen bulanan BNPL, jangan risau, anda bukan keseorangan. Yang paling penting, anda bertindak awal sebelum keadaan semakin teruk. Anda boleh bermula dengan:

Jika bayaran komitmen bulanan anda sudah mula menjadi terlalu banyak, anda boleh mempertimbangkan untuk mendapatkan nasihat daripada kaunselor kewangan atau perkhidmatan pengurusan hutang seperti Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) secepat mungkin. Kini, ada perbincangan mengenai rancangan untuk memasukkan rekod bayaran balik BNPL ke dalam sistem pelaporan kredit seperti CTOS, anda perlu memastikan bayaran dibuat dengan teratur dan tepat pada masanya supaya tidak menjejaskan rekod kewangan atau akses kepada kemudahan kredit pada masa hadapan.

BNPL sepatutnya membantu anda mengurus pembelian yang sudah dirancang, bukannya mendorong anda berbelanja di luar kemampuan. Sebelum memilih BNPL, bandingkan dengan kaedah pembayaran lain seperti bayaran langsung, menggunakan simpanan atau kad kredit. Pilih yang paling sesuai dengan keadaan kewangan anda. Sebelum memilih BNPL, tanya diri sendiri: adakah anda benar-benar memerlukan pembelian tersebut dan mampu membayar ansuran bulanan dengan selesa?

Walaupun begitu, apabila digunakan secara terkawal dan bayaran dibuat pada waktunya, BNPL boleh menjadi kaedah pembayaran yang berguna dan bukannya perangkap kewangan yang berbahaya.