Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah pun diumumkan. Bagi ramai pelajar, persoalan paling besar sekarang ialah: “Selepas ini, nak buat apa?”

Jika anda berminat untuk menyambung pengajian tetapi masih tidak pasti hendak bermula dari mana, artikel ini boleh membantu anda. Perbezaan antara program ijazah, diploma dan laluan berasaskan kemahiran seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pensijilan kemahiran serta kelayakan mikro (micro-credentials) akan dijelaskan supaya anda mengetahui kelebihan, perkara yang perlu dipertimbangkan dan peluang yang ditawarkan oleh setiap laluan.

#1 – Program Ijazah Sarjana Muda

Program ijazah biasanya ditawarkan oleh universiti dan mengambil masa sekitar tiga hingga empat tahun. Laluan ini selalunya memberi lebih tumpuan kepada pengetahuan akademik, teori dan penyelidikan sebagai persediaan untuk bidang kerjaya yang memerlukan kepakaran khusus.

Syarat kemasukan ialah perkara pertama yang perlu diberi perhatian. Syarat ini berbeza mengikut kursus dan universiti, jadi pastikan anda menyemak laman web rasmi universiti pilihan untuk mengetahui subjek yang diperlukan, gred minimum atau penilaian tambahan yang mungkin perlu dilalui.

Peringatan tambahan: anda tidak boleh terus memasuki program ijazah hanya dengan keputusan SPM. Anda perlu menjalani laluan perantaraan terlebih dahulu. Program pra-universiti seperti Asasi, A-Levels, STPM atau Diploma boleh memberikan kelayakan yang diperlukan untuk melanjutkan pengajian ijazah dalam bidang pilihan anda. Untuk memahami pilihan yang ada dan merancang langkah seterusnya, anda boleh membaca blog kami tentang Halatuju Selepas SPM.

#2 – Program Diploma

Program diploma biasanya mengambil masa sekitar dua hingga tiga tahun. Program ini banyak ditawarkan oleh politeknik dan kolej, serta direka untuk membantu pelajar bersedia memasuki alam pekerjaan dengan pantas. Kebiasaannya, diploma menggabungkan pengetahuan teori dengan latihan praktikal supaya anda memperoleh kemahiran yang lebih khusus mengikut industri pilihan.

Berita baiknya, syarat kemasukan untuk diploma selalunya lebih fleksibel berbanding ijazah. Secara umum, anda memerlukan keputusan SPM (atau kelayakan yang setara) dengan kelulusan dalam beberapa subjek teras. Namun, syarat ini bergantung pada kursus dan institusi yang dipilih.

Selepas tamat pengajian, anda boleh terus memasuki alam pekerjaan. Jika mahu, diploma juga boleh menjadi laluan yang baik untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah.

#3 – Laluan Berasaskan Kemahiran (TVET, Pensijilan dan Kelayakan Mikro)

Sejak kebelakangan ini, pendidikan berasaskan kemahiran semakin mendapat perhatian apabila industri mula mencari pekerja yang mempunyai kemahiran praktikal dan bersedia untuk bekerja. Di Malaysia, perubahan ini turut disokong oleh inisiatif kerajaan untuk memperkukuh TVET sebagai pemacu penting pertumbuhan ekonomi, terutamanya dalam sektor yang mendapat permintaan tinggi seperti pembuatan, kejuruteraan dan teknologi digital.

Program seperti ini, sama ada melalui institusi TVET, pensijilan industri atau kelayakan mikro, memberi penekanan kepada pembelajaran secara praktikal. Dalam laluan ini, sebahagian besar masa anda akan digunakan untuk membina kemahiran teknikal, bekerja dengan peralatan atau mempelajari alat dan sistem yang digunakan dalam industri tertentu.

Kelayakan berasaskan kemahiran boleh membantu mempercepat perkembangan kerjaya anda dan membuka peluang yang memberi impak lebih awal daripada yang anda jangkakan!

Jika anda sedang mempertimbangkan laluan berasaskan kemahiran, terutamanya TVET, anda boleh membaca laporan FINCO tentang persepsi dan realiti TVET di Malaysia untuk mengetahui lebih lanjut tentang peluang serta cabaran dalam bidang ini.

 

Apa yang Perlu Dipertimbangkan Sebelum Memilih Laluan?

Jika anda masih tidak pasti laluan mana yang paling sesuai, cuba tanya diri anda soalan-soalan ini:

  • Apakah cara pembelajaran paling sesuai untuk anda?
    Adakah anda lebih suka belajar tentang teori dan konsep, atau anda lebih minat belajar secara amali?
  • Kerjaya jenis apa yang anda minat?
    Sesetengah kerjaya memerlukan kelayakan akademik tertentu, manakala ada yang lebih menitikberatkan kemahiran teknikal dan pengalaman.
  • Secepat mana anda mahu memasuki alam pekerjaan?
    Setiap laluan mempunyai tempoh pengajian yang berbeza sebelum anda mula bekerja.
  • Apakah faktor kewangan yang anda perlu pertimbangkan?
    Kos dan tempoh pengajian boleh berbeza bergantung pada laluan yang anda pilih.
  • Adakah anda terbuka untuk sambung belajar pada masa hadapan?
    Dalam dunia hari ini, ramai pekerja profesional terus meningkatkan kemahiran sepanjang kerjaya mereka melalui kursus tambahan atau pensijilan.

Anda perlu ingat bahawa pilihan pertama anda selepas SPM tidak menentukan keseluruhan masa depan anda. Graduan diploma boleh menyambung pengajian ke peringkat ijazah, pelajar daripada laluan berasaskan kemahiran boleh meningkatkan kelayakan melalui pensijilan, dan ramai profesional juga bertukar laluan sepanjang kerjaya mereka.

Yang penting, pilih laluan yang sesuai dengan minat, cara anda belajar dan matlamat jangka panjang anda. Perjalanan selepas SPM hanyalah titik permulaan, bukan destinasi akhir.

Jika anda masih cuba mengenal pasti minat dan kekuatan diri, artikel kami tentang cara memahami diri dengan lebih baik untuk menentukan langkah selepas SPM juga mungkin dapat membantu.