
Di alam universiti, selalunya pelajar mengambil kerja sambilan (part-time work) atau sampingan/bebas (freelance work) -sama ada untuk menampung perbelanjaan, mendapatkan pendedahan, atau menimba pengalaman yang berkaitan dengan kerjaya mereka pada masa hadapan.
Kini, side hustle atau peluang pekerjaan sampingan lebih mudah diakses. Antaranya adalah pembikinan konten media sosial dan kerja sambilan yang menawarkan waktu bekerja fleksibel. Ini memberi peluang kepada pelajar untuk mendapat pengalaman bekerja sambil mengimbangi waktu pelajaran mereka. Namun, peluang-peluang ini datang seiring dengan tanggungjawab yang selalunya terlepas pandang.
Sebelum anda terus melangkah ke alam pekerjaan, walaupun secara sambilan atau sampingan, anda perlu memahami peluang dan cabaran yang menanti anda. Berikut adalah beberapa perkara yang anda perlu tahu sebelum mula bekerja!
1. Apa Yang Anda Ingin Capai?
Sebelum memohon mana-mana pekerjaan atau mengambil projek bebas, luangkan sedikit masa untuk bertanya kepada diri sendiri satu soalan penting: Kenapa saya nak buat kerja ini?
Setiap pekerjaan mempunyai manfaat dan cabaran yang tersendiri. Bila anda tahu apa yang anda mahu, lebih mudah untuk anda buat pilihan yang selari dengan matlamat jangka panjang anda, berbanding sekadar menerima tawaran pertama yang datang.
| Jika matlamat anda adalah untuk… | Mungkin anda mahu… | Kenapa? |
|---|---|---|
| Mendapatkan pendapatan yang cepat dan stabil | Pertimbangkan peluang kerja sambilan di kedai atau kafe | Pekerjaan seperti ini biasanya lebih mudah untuk dimulakan, mempunyai waktu kerja yang konsisten dan pendapatan yang lebih stabil. |
| Timba pengalaman yang berkaitan dengan kerjaya masa hadapan | Terokai peluang pekerjaan bebas atau sampingan seperti reka bentuk grafik, penulisan, mengajar tuisyen, atau pengurusan media sosial | Peluang seperti ini membantu anda membina kemahiran praktikal, mengukuhkan portfolio dan meluaskan rangkaian profesional melalui klien serta rakan-rakan kerjasama. |
| Mendapatkan pendedahan kepada industri atau sektor korporat tertentu | Pertimbangkan latihan industri (internship) yang berkaitan dengan bidang pengajian anda | Latihan industri membantu anda memahami cara industri berfungsi, membina kemahiran profesional dan mendapatkan pengalaman berharga yang boleh mengukuhkan permohonan kerja anda pada masa hadapan. |
| Menerokai dunia keusahawanan | Mulakan perniagaan kecil dalam talian atau jual produk digital | Ini memberi peluang untuk anda mempelajari asas perniagaan seperti pemasaran, khidmat pelanggan, pengurusan bajet dan operasi sambil menguji idea anda sendiri. |
2. Memahami Perkara Asas dalam Pekerjaan
Sebelum menerima mana-mana tawaran pekerjaan atau projek, pastikan anda baca dan fahami kontrak anda. Ini termasuklah perkara-perkara seperti tanggungjawab anda, waktu bekerja, nilai bayaran dan cara pembayaran, tempoh notis dan sumbangan sosial.
Jangan tandatangan selagi anda tak faham sepenuhnya dan jangan takut untuk bertanya soalan atau meminta penerangan sebelum bersetuju untuk menerima tawaran. Sebaik-baiknya dapatkan persetujuan bertulis, sama ada dalam bentuk emel atau mesej yang mengesahkan penglibatan anda bagi mengelakkan salah faham pada kemudian hari, walaupun untuk peluang pekerjaan sampingan/bebas.
Ingat, apabila anda mula bekerja, ia datang dengan tanggungjawab dan realiti kewangan! Untuk yang berminat dengan pekerjaan bebas, pendapatan anda mungkin tidak konsisten, dan mungkin ada bulan yang lebih lumayan daripada bulan-bulan yang lain. Belajar asas pengurusan kewangan seperti membuat bajet, menyimpan wang dan merekod pendapatan untuk membantu anda mengurus keadaan ini dengan lebih baik.
Anda juga mungkin akan menemui istilah seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Memahami perkara asas tentang kedua-duanya boleh membantu anda menjadi lebih yakin dan bersedia dari segi kewangan apabila mula melangkah ke alam pekerjaan.
3. Cabaran dalam Mengimbangi Waktu Kerja dan Waktu Belajar
Antara perkara yang paling mencabar apabila bekerja sambil belajar ialah mengimbangi dua tanggungjawab ini. Syif-syif panjang, tempoh yang pendek untuk menyiapkan sesebuah projek dan jadual yang tidak konsisten boleh membuatkan pelajar penat dari segi fizikal dan mental, terutama sekali apabila waktu jadual akademik yang sibuk dengan tugasan, pembentangan dan peperiksaan. Lambat laun, ini boleh menyebabkan keletihan yang melampau(burnout), tekanan, dan kesukaran untuk mengekalkan keseimbangan antara jadual akademik, pekerjaan dan kehidupan peribadi,
Oleh itu, penting untuk belajar cara pengurusan masa dan kemahiran dalam menetapkan batasan. Dengan mempunyai jadual yang jelas, merancang tugasan secara realistik dan tahu bila masanya untuk berehat, anda boleh menguruskan tanggungjawab akademik dan pekerjaan dengan lebih seimbang dan berterusan.
Sebagai seorang pelajar, anda tidak seharusnya mengorbankan kesihatan diri untuk menjadi produktif. Walaupun dapat menjana pendapatan tambahan dan menimba pengalaman, tanggungjawab anda sebagai seorang pelajar adalah untuk menjaga kesihatan fizikal dan mental serta prestasi akademik.
4. Mula Secara Kecil-kecilan
Anda mungkin tak sabar untuk menjadikan kerja sampingan anda sebuah ‘kejayaan’ yang mampu menjana pendapatan lumayan, lagi-lagi selepas melihat orang lain berkongsi pencapaian mereka di media sosial. Namun, ingat bahawa setiap orang mempunyai keadaan, jadual dan kemampuan yang berbeza.
Ada pelajar yang hanya boleh bekerja waktu cuti semester, manakala ada yang lebih cenderung untuk mengambil projek-projek bebas daripada terikat dengan komitmen jangka masa panjang. Yang penting, anda cari keseimbangan yang sesuai dengan keadaan anda dan boleh dikekalkan dalam jangka panjang..
Sekarang, banyak platform yang memudahkan pelajar untuk mencari kerja sambilan yang fleksibel atau peluang-peluang pekerjaan sampingan berdasarkan kemahiran dan jadual anda. Antaranya, pelajar boleh mengambil peluang pekerjaaan penghantaran atau e-hailing melalui platform seperti Grab atau Foodpanda, atau menawarkan perkhidmatan freelance dan mencari pekerjaan sambilan melalui platform seperti Kabel.my, Ezgig.my, Indeed.my dan MauKerja.com. Untuk pelajar yang mempunyai minat dalam bidang kreatif atau keusahawanan pula, anda boleh cuba menjual produk atau mempromosikan perkhidmatan melalui media sosial atau platform e-dagang.
Dengan panduan ini, kami harap anda kini lebih bersedia dan yakin untuk menerokai peluang kerja sambilan!

