
Seiring dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat, rakyat kini semakin bergantung pada platform digital untuk bekerja, membuat pembayaran dan berhubung setiap hari. Walaupun teknologi dapat memudahkan banyak urusan harian, namun, pada masa yang sama, ia juga menjadikan kita lebih terdedah kepada ancaman dan penipuan dalam talian. Penipuan zaman sekarang bukan lagi sekadar mesej “Tahniah, anda menang hadiah!” seperti dahulu. Kini, anda boleh menjadi sasaran hanya kerana anda mempunyai alamat e-mel, akaun bank atau profil media sosial.
Jumlah kes penipuan dalam talian juga tidak menunjukkan tanda-tanda semakin perlahan. Walaupun selalunya warga emas yang dianggap sebagai golongan paling mudah menjadi sasaran, kini kes yang melibatkan golongan anak muda juga semakin meningkat, terutamanya melalui platform yang digunakan setiap hari. Berikut adalah beberapa jenis penipuan dalam talian yang paling sering berlaku, serta langkah-langkah yang anda boleh ambil untuk melindungi diri sebelum terlambat:
1. Penipuan Telekomunikasi: Pemalsuan Tulen (Deepfake) & Pemancingan Data Melalui Pemalsuan Suara (Voice Phishing)
Penipu kini menggunakan kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) untuk menyamar sebagai orang sebenar seperti pegawai kerajaan, ahli keluarga, dan lain-lain.
Teknologi pemalsuan tulen (deepfake) boleh meniru suara dan wajah seseorang dengan cara yang meyakinkan. Anda mungkin akan menerima panggilan daripada orang yang menyamar sebagai salah seorang ahli keluarga untuk meminta bantuan kewangan dengan segera, atau “pegawai kerajaan” yang mendakwa anda terlibat dalam kes undang-undang dan mengarahkan anda memindahkan wang serta-merta untuk menyelesaikan perkara tersebut.
Taktik seperti ini bergantung pada rasa panik dan desakan supaya mangsa tidak sempat berfikir secara rasional.
2. Tawaran Palsu dan Promosi yang Indah Khabar daripada Rupa
Penipu cukup pantas mengambil kesempatan daripada trend dan isu-isu yang sedang menjadi perhatian ramai. Sama ada tiket konsert, tempahan eksklusif atau promosi terhad, tawaran palsu biasanya direka untuk menimbulkan rasa teruja dan terdesak..
Sebagai contoh, dalam beberapa bulan pertama selepas pembukaan restoran popular Rembayung, ramai telah menjadi sasaran penipuan slot tempahan palsu. Ada yang membuat bayaran kerana menyangka tempahan tersebut adalah yang sah; rupa-rupanya mereka ditipu.
Penipuan seperti ini berkesan kerana ia relevan dan berlaku selari dengan isu semasa. Apabila sesuatu perkara sedang hangat diperkatakan, orang lebih senang percaya.
3. Penipuan Menggunakan Perisian Perosak (Malware) Tersembunyi
Bukan semua penipuan melibatkan pemindahan wang seca Save ra langsung. Ada juga yang direka untuk menyusup ke dalam peranti anda secara senyap dan mencuri maklumat tanpa anda sedari.
Ini dikenali sebagai penipuan malware, iaitu perisian perosak yang berbahaya yang disembunyikan dalam pautan, lampiran, aplikasi atau fail muat turun. Apabila dipasang (install) pada telefon atau komputer, perisian ini boleh menjejaki aktiviti anda, mengakses fail peribadi, merakam kata laluan, malah memantau sesi perbankan dalam talian.
Perisian perosak tersembunyi boleh muncul dalam pelbagai bentuk, termasuk mesej penjejakan penghantaran, amaran perbankan palsu atau pautan untuk memuat turun dokumen.
4. Amaran Palsu dan Penipuan Data Peribadi
Penipu sentiasa mencari cara helah baru untuk memperdaya mangsa supaya mendedahkan maklumat peribadi dan kewangan, seperti butiran untuk log masuk ke akaun bank, nombor kad kredit atau kad debit anda. Biasanya, helah ini disamarkan dalam bentuk mesej harian yang kelihatan penting atau mendesak.
Contohnya, anda mungkin menerima mesej yang mengatakan mata ganjaran kad kredit anda hampir tamat tempoh, atau kad anda telah digunakan untuk pembelian bernilai besar, seperti “RM3,000 telah dibelanjakan untuk barang kemas”. Mesej itu kemudian akan menggesa anda untuk mengetik pautan atau menghubungi nombor tertentu. Selalunya, maklumat yang diberikan adalah tidak tepat. Contohnya, jumlah mata ganjaran yang salah atau nombor kad yang sebahagiannya ditutup yang bukan milik anda.
Walau bagaimanapun, apabila mesej itu disampaikan dengan nada mendesak, ramai yang terlepas pandang kesalahan-kesalahan tersebut dan terus bertindak. Sebaik sahaja mangsa memberi jawapan, penipu boleh memerangkap mereka untuk mendedahkan maklumat peribadi dan kewangan. Sebagai panduan umum, bank yang sah di Malaysia tidak akan menghantar pautan yang boleh diklik melalui SMS, jadi berhati-hatilah dengan mesej-mesej sedemikian.
Melindungi Ruang Peribadi Anda dalam Dunia Digital
Salah satu aspek pencegahan penipuan yang sering dipandang ringan ialah data peribadi. Semakin banyak maklumat yang dimiliki penipu tentang anda, semakin mudah untuk mereka mencipta taktik penipuan yang kelihatan meyakinkan dan disasarkan khusus kepada anda. Maklumat ringkas seperti nombor telefon, tempat kerja atau rutin harian juga boleh disalahgunakan.
Melindungi ruang peribadi atau privasi bukan sekadar soal keselamatan. Ia juga soal mengurangkan keterdedahan diri kepada penipu. Perkara ini kadangkala diabaikan apabila menggunakan AI untuk kerja atau pembelajaran, seperti berkongsi maklumat sensitif tanpa pertimbangan yang secukupnya. Ketahui cara melindungi diri ketika menggunakan AI melalui panduan kami di sini.
Perlindungan terbaik terhadap penipuan dalam talian adalah lebih daripada sekadar kesedaran, malah sikap sentiasa berwaspada dalam tabiat digital harian juga penting. Jika ada perkara yang rasa “tak kena”, berhenti seketika dan sahkan dahulu. Penipu memang mengharapkan anda mengambil tindakan yang terburu-buru.
Jika anda berdepan situasi mencurigakan atau percaya bahawa anda telah menjadi sasaran, laporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa yang berkaitan. Dengan bersuara, anda bukan sahaja melindungi diri sendiri, tetapi turut membantu orang lain daripada menjadi mangsa.
Ingin mengetahui lebih lanjut tentang jenis penipuan lain? Baca blog kami sebelum ini tentang Penipuan Kerjaya: Kenal Pasti Tanda Amaran dari Awal

